Saturday, September 26, 2009

Apabila kapitalis ditolak di negara sendiri

Polis AS, pelajar bertempur lagi

PITTSBURGH 26 Sept. - Polis dan penunjuk perasaan anti kapitalis bertempur di kampus Universiti Pittsburgh malam tadi, beberapa jam selepas Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) berakhir semalam.
Polis melepaskan tembakan 'bungkusan kacang' yang berisi peluru getah bagi menyuraikan kira-kira 40 penunjuk perasaan yang berkumpul di sebuah plaza bagi satu 'perhimpunan menentang keganasan polis' yang dianjurkan melalui mesej Twitter.
Ratusan pelajar keluar daripada bilik mereka yang berhampiran bagi melihat polis dalam pakaian anti rusuhan yang mengepung penunjuk perasaan di plaza tersebut dan mereka turut diminta bersurai.
Polis menggunakan gas pemedih mata dan peralatan akustik yang menghasilkan bunyi bising bagi membuatkan pelajar lari mencari perlindungan.
"Kami sedang berdiri di satu selekoh dan mereka tidak memberikan arahan supaya bersurai sebaliknya mereka mula menembak kami,'' kata seorang pelajar, Curtis Stine, 21, kepada Reuters.
Kebanyakan pelajar berkata, mereka keluar untuk melihat tunjuk perasaan malam tadi hanya untuk berhibur dan mereka juga tidak tahu tujuan sebenar ia diadakan.
Ini merupakan malam kedua pertempuran berlaku di kampus tersebut. Malam kelmarin, polis turut menembak 'bungkusan kacang' dan melepaskan gas lada bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang memecahkan tingkap di lebih sepuluh kedai dan bank.
Terdahulu, lebih 10,000 penunjuk perasaan mengadakan satu perarakan secara aman. Penunjuk perasaan - daripada pencinta alam sekitar, sosialis, rakyat Palestin serta Tibet dan pekerja kesatuan - berarak ke arah pusat konvensyen di mana pemimpin-pemimpin G20 membincangkan tentang ekonomi global.
Mereka dihalang oleh sekumpulan polis yang memakai perisai badan. Polis turut membuat sekatan kira-kira 0.8 kilometer daripada pusat konvensyen berkenaan bagi menghalang penunjuk perasaan.
Penunjuk perasaan turut membawa sepanduk tertera 'Kami Katakan Tidak Kepada Korporat Tamak' dan 'G20 dengan Kapitalisme' - Reuters