Sunday, September 6, 2009

Kebangkitan Sebenar Umat Adalah Dengan Pemikiran Islam

Bismillah al-Rahman al-Rahim


Buat kaum muslimin yang yakin akan keagungan Islam,
Yang yakin akan keutuhan Islam,
Yang merindukan kembalinya kehidupan Islam,
Yang mencintai Allah dan Rasul-Nya di atas
Cintanya kepada harta , keluarga dan jiwanya sendiri.

Untuk Kaum Muslimin yang dinyatakan oleh Allah:
“Dan orang-orang yang mencurahkan kemampuannya
Semata kerana Kami,niscaya pasti Kami
Tunjuki jalan Kami”,

Untuk orang-orang yang saya cintai,
Yang sanggup mengorbankan apa yang dimilikinya
untuk kemuliaan dan keagungan agamaNya,
Risalah ini aku persembahkan..


Kebangkitan Sebenar Umat Adalah Dengan Pemikiran Islam

"Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman diantara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagai mana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredainya untuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa, mereka tetap menyembahKu dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku, dan barang siapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu maka mereka itulah orang-orang yang fasik." [Surah An-Nur (24):55]

Assalamu 'alaikum wbt.

Wahai kaum Muslimin, wahai umat Islam.. Dewasa ini kita lihat umat Islam dimana-mana sahaja mereka mempunyai berbagai macam masalah. Realitinya pada hari ini umat Islam adalah umat yang paling lemah dan yang paling mundur kebelakang. Rata-rata dunia umat Islam ditindas, malah diperangi oleh musuh-musuh Islam. Saudara-saudara kita di Palestin, Iraq, dan Afganistan di perangi, diseksa dan dibunuh dengan kejam. Belum lagi masalah-masalah yang menimpa umat Islam dinegara mereka masing-masing seperti kes pembunuhan, rompakan dan rasuah yang berlaku ke atas umat Islam sendiri. Islam sudah tidak dijadikan peraturan kehidupan malah ditinggalkan. Umat Islam mundur dari segi pemikiran dan juga dari segi kemajuan-kemajuan yang lain. Sedangkan Allah Swt. berfirman "Kamu (umat Islam) adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia.." Akan tetapi realitinya pada hari ini umat Islam bukanlah umat yang terbaik. Umat-umat lain selain umat Islamlah yang menerajui dunia. Sememangnya umat Islam pernah mencapai kegemilangannya, menjadi umat terbaik, ketika mana hukum-hukum Allah dilaksanakan sepenuhnya. Umat Islam pernah menguasai tiga per empat dunia, merupakan umat yang paling baik keperibadian dan akhlaknya, menguasai perbagai kemajuan, menjadi contoh kepada umat-umat lain, memimpin dunia dengan perintah dan larangan Allah Swt. Akan tetapi akibat daripada konspirasi dan rancangan-rancangan jahat musuh-musuh Islam yang ingin menjatuhkan Islam dan juga kelalaian umat Islam itu sendiri dalam melaksanakan Islam menyebabkan umat Islam jatuh tersungkur dan dihinakan. Umat Islam mula dijajah dan diracuni pemikiran-pemikiran mereka dengan pemikiran-pemikiran dan peraturan kufur. Akibatnya umat Islam menjadi mangsa, keliru dan kacau bilau pemikiran dan pendiriannya. Hukum-hukum Islam mula ditinggalkan dan diganti dengan hukum-hukum thaghut (selain hukum-hukum Islam). Negara Islam dipecah-pecahkan menjadi negara-negara kecil, serta ditanamkan semangat nasionalis, dihadiahkan dengan kemerdekaan yang palsu dimana walaupun secara fizikalnya nampak bebas merdeka tetapi pemikiran mereka hakikatnya masih lagi dijajah. Menyedari hakikat yang terjadi, umat Islam mula sedar dan banyak usaha dilakukan kearah kebangkitan semula. Tetapi persoalannya sekarang kebangkitan macammanakah yang mampu membangkitkan umat dan sesuai dengan perintah Allah? Inilah topik yang hendak di perbincangkan pada kali ini agar pandangan umat menjadi jelas dan melalui jalan yang benar ke arah kebangkitan Islam dengan nahdhah al-shahih (kebangkitan yang sebenar)..

Wahai kaum Muslimin, wahai umat Islam.. Asas kepada kebangkitan umat ialah dengan meningkatkan kualiti pemikiran. Kebangkitan itu bermula dengan terbentuknya pemikiran yang dengannya terbentuknya mafhum (kefahaman). Daripada proses berfikir yang benar mengikut metod berfikir yang dijelaskan dalam Al-Quran akan membentuk aqidah (keyakinan). Seterusnya daripada aqidah tersebut akan terbentuknya kaidah fikriyah (kaedah berfikir). Secara ringkasnya gambaran kaidah fikriyah Islam ialah "suatu kaedah berfikir yang digunakan untuk membuat keputusan (kesimpulan) dengan disertai kesedaran akan hubungan diri dengan Allah Swt. dan juga hubungan diri dengan hisab-Nya di mana hubungan manusia dengan Allah ialah hubungan 'perintah dan larangan-Nya' manakala hubungannya dengan hari pembalasan ialah 'hisab' dimana manusia akan diberi balasan atas segala perbuatan yang dilakukannya." Dengan kaidah fikriyah semacam ini setelah terbentuknya aqidah dengan penuh keyakinan tentang kewujudan pencipta iaitu Allah Swt. dan keberadaanNya yang wajibul wujud (wajib adanya), Yang Azali dan tidak bergantung kepada yang lain serta rukun Iman yang lain iaitu kebenaran Al-Quran yang tiada siapa yang dapat menandinginya walaupun dengan hanya membuat satu surah dan yang terpendek sekalipun, kebenaran Nabi Muhammad saw. sebagai pesuruh Allah yang telah membawa Al-Quran yang haq (benar) yang ketiga-tiga rukun Iman ini (Iman kepada Allah Swt, Al-Quran dan Kerasulan Muhammad Saw) ada realitinya iaitu:
Adanya alam, kehidupan dan manusia yang mampu dicerap oleh pancaindera manusia jika diteliti dengan mendalam dengan berfikir tentang penciptaan tersebut dikaitkan dengan ada atau tiadanya yang menciptakannya membuktikan bahawa mustahil penciptaan serta peraturan alam tersebut tidak ada yang menciptakannya. Contohnya api boleh digunakan untuk memanaskan air. Siapakah yang menetapkan bahawa api tersebut sifatnya boleh membakar dan memanaskan? Suatu yang ditetapkan bahawa air akan mendidih pada 100 darjah C. Siapakah yang telah menetapkan peraturan tersebut sehingga air tidak akan mendidih kecuali pada 100 darjah C di permukaan bumi pada aras laut? Contoh lain ialah graviti. Kita tidak nampak graviti tersebut dengan pancaindera, namun diyakini ada dan nilai graviti bumi tersebut sentiasa tetap iaitu 9.81 pecutan sesaat. Siapakah yang menetapkannya? Mustahil tiada yang mengaturnya sehingga kewujudan al-Khaliq (Pencipta iaitu Allah Swt) itu terbukti pasti ada. Kita tidak dapat melihat Allah secara terus kerana pancaindera kita terbatas setakat mampu mencerap apa yang ada dibatasan dunia iaitu alam semesta, manusia dan kehidupan lain. Namun itu bukannya menjadi alasan bahawa Pencipta itu tiada kerana tidak dapat dilihat langsung oleh pancaindera manusia. Seperti halnya angin, graviti dan letrik yang tidak dapat dilihat tapi kita yakini ada. Apabila lampu menyala menunjukkan adanya elektrik walaupun dengan mata kasar manusia letrik itu tidak dapat dilihat tetapi diyakini ada kerana tanda keberadaannya ada iaitu menyalanya mentol lampu. Begitulah juga keberadaan Pencipta dimana alam semesta, manusia dan kehidupan menjadi tanda-tanda yang menunjukkan bahawa Pencipta itu ada. Keberadaan Pencipta pula secara fitrahnya sudah pasti tidak serupa dengan makhluk. Tiada selain Pencipta melainkan makhluk dan tiada selain makhluk melainkan Pencipta. Apabila sifat makhluk itu terbatas (berawal dan berakhir), lemah serta bergantung kepada yang lain, sifat Pencipta pula Azali (tidak berawal dan berakhir), Maha Berkuasa dan tidak bergantung kepada yang lain. Inilah kebenarannya. Sekiranya sifat Pencipta serupa dengan makhluk maka tidak layak digelar sebagai Pencipta tetapi serupa sahaja dengan makhluk-makhluk yang lain dan ini adalah bathil (salah), mustahil (tidak mungkin) dan tidak dapat diterima akal dan tidak sesuai dengan fitrah manusia yang ingin mensucikan suatu yang benar-benar suci. Apalah ertinya mensucikan suatu yang tidak suci? Sudah tentu bertentangan dengan kebenaran dan fitrah manusia itu sendiri. Pencipta itu mustahil diciptakan oleh yang lain atau menciptakan dirinya sendiri melainkan Wajibul wujud dan bersifat Azali. Sekiranya Pencipta itu diciptakan oleh yang lain beerti serupa dengan makhluk. Sekiranya Pencipta menciptakan dirinya sendiri tidak masuk akal dan menunjukkan Pencipta tersebut berawal, terbatas dan serupa dengan makhluk. Hanya Islam sahaja agama yang menjelaskan sifat Pencipta yang benar dan haq membuktikan bahawa Islam adalah agama yang benar dan Tuhan itu tiada yang lain melainkan Allah Swt yang Maha Esa (Satu), tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, yang segala sesuatu bergantung padaNya dan tiada yang setara denganNya. Maha Suci Allah dari apa sahaja (anggapan dan kekotoran) yang mereka sifatkan..
Kebenaran Al-Quran itu dapat dibuktikan dengan proses akal menggunakan dalil akli metod berfikir yang ditunjukkan Allah Swt. dalam Al-Quran kerana realiti Al-Quran yang merupakan mukjizat kepada nabi Muhammad itu ada dan dijamin terpelihara hingga ke hari Kiamat. Tiada siapa yang dapat menandingi kehebatan Al-Quran, gaya bahasanya, susunan ayatnya serta kebenaran isi kandungannya. Allah mencabar makhluknya manusia dan jin yang tidak mempercayai kebenaran Al-Quran supaya menandinginya dengan membuat surah yang serupa dengannya. Jika benar apa yang kamu katakan bahawa Al-Quran itu dibuat-buat oleh manusia bukannya dari Allah, maka cubalah buat satu surah sahaja yang serupa dengannya walaupun sependek surah Al-Kausar yang cuma ada tiga ayat pun manusia tak akan mampu menandinginya walaupun manusia dan jin berkumpul dan saling menjadi pembantu kepada sebahagian yang lain tetap mereka tidak dapat membuat yang serupa dengan Al-Quran. Ini adalah janji Allah yang pasti dan haq memelihara kesucian dan kebenaran Al-Quran sebagai Kalamullah (kata-kata Allah) yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun. . Al-Quran itu tidak mampu ditandingi oleh manusia walaupun orang yang paling memahami bahasa arab sekalipun, atau yang paling mahir dalam sastera dan gaya bahasa Arab. Namun tetap tidak dapat membuat yang serupa dengan Al-Quran dari segala aspek, kebenarannya, gaya bahasanya dan susunan ayatNya. Sekiranya Al-Quran itu dapat ditandingi, sudah tentu orang Arab jahiliyyah yang terkenal dengan kemahirannya bersastera, pidato dan puisi dan musuh-musuh Islam akan membuatnya dan menjatuhkan serta mendustakan nabi Muhammad Saw. sejak awal-awal lagi. Namun hingga kehari ini tiada yang dapat menandinginya. Tuduhan bahawa Al-Quran itu dibuat-dibuat sendiri oleh nabi Muhammad juga adalah bathil (salah). Nabi Muhammad sendiri merupakan manusia biasa yang kemampuannya sama dengan orang-orang arab yang lain iaitu sama-tidak tidak dapat menandingi kehebatan Al-Quran. Malah nabi Muhammad itu Ummi (tidak tahu membaca dan menulis), serta lisannya, kata-katanya, hadishadisnya yang mutawatir (100 peratus diyakini benar), tiada satu pun yang serupa dengan gaya bahasa Al-Quran walaupun kedua-duanya merupakan wahyu daripada Allah namun Al-Quran itu makna dan lafaznya kedua-duanya daripada Allah, manakala hadis maknanya daripada Allah tetapi lafaznya daripada nabi Muhammad sendiri yang kedua-duanya (Al-Quran dan Hadis) itu berbeza antara satu sama lain dari segi gaya bahasa dan penyampaiannya. Cukup membuktikan bahawa Al-Quran itu bukannya daripada manusia,orang arab mahupun nabi Muhammad melainkan daripada Allah Swt..
Kebenaran nabi Muhammad Saw. sebagai seorang rasul pesuruh Allah juga realitinya ada iaitu Al-Quran itu sendiri. Jika Al-Quran telah kita buktikan kebenarannya, maka sudah tentu orang yang membawanya juga adalah benar. Nabi Muhammad lah yang menyampaikan Al-Quran daripada Allah Swt. kepada manusia dan kepada seluruh makhluk yang lain. Inilah bukti bahawa nabi Muhammad itu memang terbukti kebenarannya sebagai seorang rasul utusan Allah Swt. Manusia mempunyai naluri beragama, dorongan ingin mensucikan sesuatu yang dianggap berkuasa, suci dan agung. Sifat ini adalah fitrah yang ada pada manusia. Oleh kerana itu sudah semestinya memerlukan kepada pemenuhan agar naluri beragama atau dorongan mensucikan tersebut dapat dipenuhi dengan cara dan peraturan yang benar. Cara dan peraturan ini pastilah daripada Pencipta itu sendiri bukannya daripada manusia dan makhluk lainnya kerana peraturan dan cara bagi mengatur hubungan manusia, makhluk dengan penciptanya jika daripada manusia itu sendiri sudah tentu akan berlaku banyak percanggahan,pertentangan, banyak perbezaan cara peraturan bergantung kepada masing-masing manusia mengikut adat, suasana keadaan meraka. Ini adalah suatu yang bathil (salah) sehingga menunjukkan bahawa cara dan peraturan bagi mengendalikan naluri beragama tersebut hanyalah daripada Pencipta itu sendiri dan itu adalah merupakan hakNya untuk menetapkan suatu peraturan yang sesuai bukannya hak manusia juga makhluk-makhluknya yang lain. Ini menunjukkan manusia perlu kepada agama dan peraturan agama ini sampai kepada manusia tidak lain tidak bukan melalui para utusan Allah iaitu nabi-nabi dan rasul-rasulNya yang dipilih-Nya dari kalangan manusia, lelaki dan diberikan kepadanya wahyu risalah untuk disampaikan kepada seluruh makhluk Allah Swt. di muka bumi.. Ini bukti bahawa nabi-nabi dan rasul-rasul itu diperlukan oleh manusia dan sekaligus menunjukkan bahawa keberadaan nabi-nabi dan rasul-rasul itu adalah suatu yang haq (benar).
Ketiga-tiga ini iaitu kebenaran wujud dan keberadaan Allah Swt., kebenaran kitab Al-Quran dan kebenaran Nabi Muhammad Saw. ini ada realitinya dan dengan itu dapat dicerap oleh panca indera manusia bagi membolehkan terjadinya proses berfikir dengan menggunakan akal manusia yang dengannya diberikan beban tanggungjawab kepada manusia atas setiap perbuatannya di dunia yang pasti akan di hisab (dihitung) amalannya seterusnya diberi balasan yang setimpal dengan perbuatan-perbuatan yang telah dilakukan di akhirat kelak. Pembuktian dengan proses berfikir ini adalah wajib bagi mewujudkan keyakinan akidah Islam. Ia merupakan proses yang menghasilkan dalil akli (dalil akal) salah satu daripada dua jenis dalil yang diterima Islam (dalil akli dan dalil naqli) yang merupakan dalil wahyu daripada Allah Swt. kerana ianya mengikut metod berfikir yang diterangkan Allah Swt. dalam Al-Quran iaitu batas berfikir manusia setakat yang mampu dicerap realitinya dengan pancaindera manusia. Tidak boleh berfikir diluar batasan tersebut misalnya berfikir tentang bagaimanakah wajah Allah dan ZatNya kerana manusia akalnya terbatas.
Manakala untuk mengimani perkara lain yang wajib diimani tetapi realitinya tidak dapat diindera oleh pancaindera manusia seperti kebenaran kitab-kitab selain kitab Al-Quran, nabi-nabi dan rasul-rasul selain nabi Muhammad Saw., malaikat dan hari qiamat (akhirat, hisab perhitungan amalan, syurga dan neraka) digunakan dalil naqli (dalil daripada nash syara: Al-Quran dan Hadis) untuk membuktikan kebenarannya dengan dalil yang telah terbukti kebenarannya dan tak mungkin salah iaitu Al-Quran dan Hadis yang mutawatir bagi membuktikan pemikiran aqidah dengan penuh taat dan penerimaan..
Qada' dan Qadar baik dan buruknya daripada Allah Swt. juga wajib diimani. Realitinya ada iaitu:
Adanya perkara dan perbuatan yang tidak dapat dipilih oleh manusia, atau perbuatan yang dipaksakan atas manusia (Contohnya paras rupa manusia, jantina, kemalangan jalan raya yang tidak diduga dan sebagainya) dan,
Adanya Khasiyat (potensi khas) yang dikurniakan Allah kepada benda dan makhluk-Nya (Contohnya api mempunyai khasiyat membakar, air pula mempunyai khasiyat memadamkan api, pisau mempunyai khasiyat memotong, manusia mempunyai naluri dan keperluan jasmani)
Dalam masalah Qada' dan Qadar apa yang diperbincangkan dalam masalah ini ialah tentang ruang lingkup yang adanya pembahasan pahala dan seksa. "Dalam suatu perbuatan, adakah manusia diberi pilihan ataupun tidak untuk memilih." Ilmu Allah dan Iradah (kehendak) Allah tidak memaksa manusia melakukan perbuatan. Apabila adanya pilihan iaitu samaada ingin mengikut kepada perintah dan larangan Allah Swt. atau melanggarnya maka dalam hal ini manusia akan diberi pertanggungjawapan. Sesungguhnya penglihatan, pendengaran dan akal fikiran itu semuanya akan diberi pertanggungjawapan. Manusia yang mempunyai akal namun tidak digunakan berfikir, mempunyai mata namun tidak digunakan untuk melihat dan mempunyai telinga namun tidak digunakan untuk mendengar, mereka itu seperti binatang bahkan lebih hina lagi.. Oleh kerana itu, apabila terdapat pilihan untuk membuat baik (mengikut perintah dan larangan Allah Swt.) ataupun tidak maka dalam perkara ini akan dipersoalkan dan diberi pertanggungjawaban.
Manakala dalam hal yang tidak adanya pilihan manusia dalam suatu perbuatan, maka dalam hal ini Allah Swt. tidak akan mempersoalkannya. Misalnya paras rupa, warna kulit dan jantinanya. Sabda Rasulullah Saw. "Sesungguhnya Allah tidak menilai keatas rupa kamu serta harta kekayaan kamu, akan tetapi Dia hanya menilai hati dan amal perbuatan kamu."
. Begitu juga Allah Swt. tidak akan mempersoalkan hal-hal, perkara-perkara, perbuatan-perbuatan manusia yang tidak ada pilihan baginya untuk memilih misalnya malapetaka banjir, kemalangan jalan raya yang tidak diduga dan sebagainya yang tidak ada pilihan baginya melainkan menerima dengan pasrah. Hal-hal, perkara-perkara dan perbuatan-perbuatan yang tiada pilihan diberikan kepada manusia inilah yang disebut sebagai Qada’ iaitu takdir, ketetapan dan ketentuan Ilahi, termasuk juga ajal, rezki dan jodoh yang memang telah ditetapkan oleh Allah Swt. kepada manusia. Dalam masalah ajal, rezki dan jodoh manusia haruslah berusaha misalnya bagi mendapat rezki kena berusaha, begitu juga dengan jodoh kena disetai dengan usaha agar ketetapan Allah itu akan datang. Jika tidak berusaha, mengurungkan diri dalam bilik sudah tentu rezki dan jodoh tersebut tidak akan datang. Begitu pula dengan ajal, Allah telah menetapkan ajal manusia, namun manusia misalnya perlu berusaha untuk berubat sekiranya sakit dan menjaga diri agar tidak ditimpa perkara yang tidak baik berlaku pada dirinya..
Qadar pula adalah Khasiyat (potensi khas) yang diberikan Allah Swt. kepada benda-benda dan makhluk-makhluk-Nya. Misalnya Kertas mempunyai khasiyat untuk terbakar, api mempunyai khasiyat untuk membakar, air mempunyai khasiyat memadamkan api. Api tak boleh dipadamkan menggunakan minyak kerana minyak tidak mempunyai khasiyat memadamkan api tetapi ianya mempunyai khasiyat untuk terbakar. Allah telah menciptakan khasiyat-khasiyat ini tetapi ia tidak akan berfungsi dengan sendirinya. Misalnya mancis tidak akan terbakar jika tiada manusia yang memetiknya. Apabila khasiyat api digunakan untuk kebaikan misalnya untuk memasak makanan maka manusia bererti memamfaatkannya dengan baik malah telah melakukan kebaikan, perbuatan yang tidak bercanggah dengan perintah dan larangan AllahSwt. Namun apabila khasiat yang sama digunakan untuk perkara yang tidak baik seperti membakar rumah orang lain kerana dengki maka akan dipertanggungjawapkan di hadapan Allah Swt. atas perbuatan tersebut.
Inilah perbincangan disekitar masalah Qada' dan Qadar, baik buruknya daripada Allah Swt. yang wajib diimani oleh manusia sebagai makhlukNya yang berakal. Inilah serba sedikit mukaddimah yang saya harap dapat membentuk Iman iaitu Aqidah (keyakinan) kita kepada Allah Swt. dan juga kepada segala perkara yang diperintahkan-Nya agar kita mengimaninya. Dengan proses yang benar ini iaitu keimanan yang terbentuk daripada proses berfikir dan nash-nash syara' maka akan membentuk keyakinan yang sungguh kepada Allah dan perintah larangan-Nya serta Hisab pembalasannya bagi setiap perbuatan manusia yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Tujuan hidup manusia juga akan menjadi jelas iaitu tidak lain melainkan untuk beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah Swt., patuh sepada seluruh Perintah dan laranganNya. Maka keyakinan ini akan melahirkan kaidah fikriyah (kaedah berfikir) yang dengan menggunakan kaedah berfikir ini akan dapat memberi penyelesaian kepada seluruh permasalahan manusia yang meliputi hubungan manusia dengan Allah, Manusia dengan dirinya sendiri dan juga hubungan manusia dengan manusia yang lain dengan penyelesaian yang berlandaskan kepada hukum-hukum Islam. Firman Allah Swt: "Dan Kami (iaitu Allah) menurunkan kepada kamu Kitab (Al-Quran) ini untuk menerangkan semua perkara." . Allah Swt. juga berfirman yang bermaksud: "Hari ini telah Aku sempurnakan agama kamu dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku, serta Aku redhai Islam sebagai agama kamu."
Islam itu telah disempurnakan oleh Allah Swt. dan mampu menjawap segala permasalahan manusia. Manusia perlu berusaha untuk memahami pemikiran dan pemahaman yang dihasilkan oleh nash-nash syara' yang dengan itu akan dapat memberi penyelesaian kepada seluruh permasalahannya sebagai makhluk Allah yang memerlukan tunjuk ajar dan peraturan daripadaNya sebagai landasan manusia untuk hidup di dunia ini.
Kaedah berfikir ini tadi akan menjadi landasannya untuk memahami satu-satu permasalahan. Dengan kaedah berfikir Islam yang benar ini maka segala permasalahan yang timbul akan difahami pada sudut pandangan dan ruang lingkup Islam menghasilkan mafhum (kefahaman) yang Islami. Seterusnya kefahaman yang Islami ini akan mempengaruhi muyul (kecenderungan) atau sikap seseorang individu iaitu apabila dorongan keperluan jasmani dan naluri manusia diikat dengan mafhum yang islami. Ini akan mempengaruhi suluk (tingkah laku) manusia tersebut berdasarkan kepada muyul Islam yang telah terbentuk membentuk suluk (tingkah laku) yang benar, sesuai dengan Islam. Beginilah caranya agar tingkah laku kebangkitan itu mampu terhasil iaitu kebangkitan yang berasaskan kepada pemikiran Islam iaitu akidah Islam. Beginilah caranya bagaimana mewujudkan pemikiran Islam, iaitu akidah Islam yang jernih dan insyaAllah selepas ini kita akan membincangkan pula tentang bagaimana pemikiran Islam mampu membangkitkan umat Islam sebagaimana yang telah berlaku pada zaman Rasulullah agar dapat diraih kebangkitan yang sama buat kali keduanya. Sabda Rasulullah Saw. "Masa kenabian akan hadir ditengah-tengah kalian selama Allah menghendaki. Allah kemudian mencabutnya apabila Dia berkehendak untuk mencabutnya. Muncullah kemudian Khilafah yang tegak di atas manhaj kenabian yang akan tetap ada selama Allah menghendakinya. Allah lalu mencabutnya apabila Dia berkehendak untuk mencabutnya. Muncullah kemudian kekuasaan yang zalim selama Allah menghendakinya. Allah kemudian mencabutnya apabila Dia berkehendak untuk mencabutnya. Selanjutnya, muncullah kembali Khilafah yang tegak diatas manhaj kenabian. Setelah itu, Rasulullah Saw.terdiam." (Hr Ahmad)
Daripada hadis diatas telah disebutkan oleh Rasulullah Saw. tentang janji Allah Swt. bahawa umat Islam akan bangkit semula dengan menegakkan kembali kepimpinan Khilafah menurut minhaj kenabian. Hanya dengan pemerintahan Islam yang ditegakkan dengan asas pemikiran Islam (aqidah Islam) akan mampu membangkitkan Umat Islam. Oleh itu Umat Islam perlu bersatu, menyatu dengan suatu pemikiran iaitu pemikiran Islam dengan pembentukan aqidah Islam yang benar.
Pada dasarnya kebangkitan itu bukan bertumpu pada pengambil alihan pemerintahan tetapi menyatukan umat dengan suatu pemikiran. Menerapkan dan menjadikan pemikiran tersebut sebagai arah kehidupannya. Dengan demikian atas kesedarannya bahawa perlu menerapkan segala perintah dan larangan Allah tidak kira yang berhubung dengan pengaturan ‘hubungan manusia dengan Allah’ seperti aqidah dan ibadah, ‘hubungan manusia dengan dirinya sendiri’ yang meliputi akhlak, makanan, minuman dan pakaian bahkan juga berhubung dengan pengaturan ‘hubungan manusia dengan manusia yang lain’ meliputi segala bentuk muamalah (interaksi manusia dengan manusia lain) iaitu sistem sosial, pendidikan, ekonomi, sistem hukuman, politik dan pemerintahan. Atas kesedaran bahawa Islam itu wajib diterapkan secara menyeluruh termasuklah kewajiban mendirikan sistem pemerintahan sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah maka semuanya itu dilaksanakan semata-mata kerana perintah dan larangan Allah Swt. bukannya atas sebab-sebab yang lain. Pemerintahan menjadi suatu kemestian kerana tanpa tertegaknya pemerintahan Islam sebahagian besar hukum-hukum Islam tidak dapat dilaksanakan terutamanya yang meliputi peraturan-peraturan yang berhubung dengan ‘hubungan manusia dengan manusia yang lain’. Tanpa pemerintahan Islam yang shahih sebagaimana yang dijelaskan oleh syara’, maka umat Islam tidak mampu bangkit, bahkan menjadi semakin mundur kebelakang. Sebagaimana yang dapat kita saksikan pada hari ini mengenai apa yang telah berlaku di dalam dunia Islam menjadi bukti yang amat jelas bahawa apabila Islam tidak dilaksanakan sepenuhnya di dalam kehidupan maka timbul bermacam-macam masalah. Nasib umat Islam sudah tidak lagi terbela, umat Islam berpecah belah, penindasan ke atas kaum muslimin dengan sewenang-wenangnya dilakukan oleh musuh-musuh Islam dan bermacam-macam lagi hinaan dan masalah yang diterima umat Islam dewasa ini kesan daripada tidak diterapkan Islam secara menyeluruh. Pemerintahan wajib ditegakkan semula. Ini merupakan kewajiban yang amat besar. Kehilangannya merupakan satu malapetaka yang amat dasyat keatas umat Islam. Pemerintahan tersebut mestilah dibangun di atas landasan pemikiran Islam. Dengan demikian pengambil alihan kekuasaan bukan tujuan (matlamat) dan hal ini tidak boleh dijadikan tujuan. Ia hanya layak dijadikan metod (thariqah-landasan yang telah ditetapkan oleh syara’) untuk mencapai kebangkitan. Selama pendirian pemerintahan itu di dasarkan pada suatu pemikiran, maka kebangkitan akan dapat dicapai. Jadi yang menjadi tujuan (matlamat) ialah mendidik dan memahamkan umat dengan pemikiran yang dapat membangkitkan umat. Dengan demikian kesedaran umat untuk terikat dengan seluruh perintah, larangan dan hukum-hukum Allah akan dapat diwujudkan. Menerapkan pemikiran tersebut dalam kehidupan, dan arah perjalanan kehidupannya ditempuhi dengan berdasarkan kepada pemikiran ini. Pada saat yang sama dibangun pemerintahan melalui umat, yang berdasarkan kepada pemikiran tersebut. Jika ini yang dilakukan maka akan tercapailah kebangkitan yang pasti.
Contoh terbaik yang dapat dijadikan teladan ialah sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah Saw. Tatkala Allah membangkitkannya dengan risalah Islam, baginda menyeru umat manusia kepada aqidah Islam. Ini tidak lain beerti menyeru kepada suatu pemikiran. Dan tatkala penduduk kota Madinah dari kalangan kabilah Aus dan Khadzraj dapat disatukan dengan aqidah Islam yaitu dengan suatu pemikiran, maka jadilah mereka memiliki arah yang memimpin kehidupan mereka. Kemudian pemerintahan Madinah pun diambil alih dan didirikan di atas dasar aqidah Islam.
Rasulullah saw bersabda “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sampai mereka mengatakan ‘Laa ilaha illallah Muhammad Rasulullah’, Apabila mereka mengucapkannya, maka terpeliharalah darahnya dan hartanya kecuali ditumpahkan dan diambil dengan cara yang haq (benar).”
Hadis ini menyeru kepada suatu pemikiran. Maka kebangkitan pun berjaya diraih di kota Madinah yang tersebar ke kawasan Arab lalu melebar kepada bangsa-bangsa yang memeluk Islam yaitu yang meyakini pemikiran tersebut dan para penguasanya mengatur dan menguruskan urusan rakyat dengan berdasarkan pada pemikiran tersebut.
Tidak dinafikan lagi, umat Islam di seluruh pelosok dunia saat ini mengalami kemerosotan. Umat telah berusaha untuk bangkit sejak lebih dari 100 tahun yang lalu. Namun kebangkitan yang diimpikan tidak juga kunjung berhasil hingga ke saat ini. Sebabnya adalah, pemerintahan yang ada berdiri di atas dasar peraturan dan perundang-undangan. Pemerintahan itu baik yang berdiri di atas landasan peraturan dan perundangan-undangn selain Islam (peraturan kufur) seperti yang terjadi pada kebanyakan negara-negara Muslim saat ini atau berdiri atas landasan peraturan dan perundang-undangan Islam dan hukum-hukum syara’ seperti yang penah berlaku di beberapa negeri Muslim seperti Yaman sebelum revolusi Salal, semuanya mengalami kemunduran. Tidak mampu bangkit kerana memang pemerintahannnya dibangun di atas peraturan, tidak dibangun atas suatu pemikiran yang tidak akan membawa kepada kebangkitan. Dengan kata lain peraturan yang diterap tanpa terlebih dahulu difahami dan diyakini oleh umat, individu dan masyarakat sehingga mewujudkan kesedaran untuk taat dan tunduk kepada hukum-hukum Allah yang akan dilaksanakan ke atas mereka tidak akan berjaya membangkitkan umat. Yang mampu membangkitkannya hanyalah jika pemerintahan itu dibangun di atas landasan pemikiran Islam, yaitu akidah Islam dengan penuh kesedaran akan kewajiban untuk terikat dengan segala perintah dan larangan Allah Swt. Negara yang dibangunkan di atas landasan Laa ilaha illahhah Muhammad Rasulullah yaitu akidah Islam, negara seperti itulah yang mampu bangkit. Jadi negara harus berdiri di atas landasan aqidah Islam iaitu suatu pemikiran dan setelah itu barulah mengambil hukum-hukum syara’ dengan anggapan hal itu adalah perintah Allah, lalu diterapkan. Itupun kerana mengikuti perintah dan larangan Allah, bukan kerana kelayakan, manfaat atau ada kepentingan dan alasan-alasan lain. Semua itu harus dianggap sebagai sesuatu yang datang dan berasal dari wahyu Allah dan diambil dari makna Laa ilaha illallah Muhammad Rasulullah yang jika demikianlah halnya maka kebangkitan akan dapat diraih.
Metod atau thariqah (landasan yang telah ditentukan oleh syara’) untuk mencapai kebangkitan itu adalah dengan menegakkan pemerintahan yang didasarkan kepada pemikiran, bukan didasarkan kepada peraturan, perundangan ataupun hukum. Penegakan negara yang berdasarkan pada perundangan dan hukum, tidak mungkin mencapai kebangkitan, malah sebaliknya jika itu yang terjadi sangatlah berbahaya bagi kebangkitan itu sendiri. Buktinya yang menunjukkan bahawa menegakkan pemerintahan di atas dasar peraturan, perundangn dan hukum tidak mampu mencapai kebangkitan adalah seperti apa yang telah dilakukan oleh Mustafa Kamal di Turki. Beliau menegakkan pemerintahan di atas dasar dan perundang-undangan Barat. Kemudian di atasnya dibangunkan pemerintahan. Beliau melaksanakannya dengan sepenuh usaha dan stategi melalui pemaksaan dan sebagainya. Meskipun demikian, Turki tetap saja tidak mampu meraih kebangkitan. Turki tetap tidak mampu bangkit malah mengalami kemunduran. Padahal, Lenin (1917M) yang muncul pada zaman yang hampir sama dengan Mustafa Kamal (1924M) mampu mampu membangkitkan Rusia menjadi negara yang kuat. Bahkan sekarang ini tergolong daripada negara-negara yang terkuat. Sebabnya tiada lain kerana Lenin mendirikan pemerintahan di atas landasan suatu pemikiran, yaitu pemikiran Komunisme. Dari pemikiran ini muncul penyelesaian-penyelesaian terhadap masalah kehidupan sehari-hari, yang berupa peraturan dan perundang-undangan yang menjadi penyelesaian terhadap segala permasalahan dalam bentuk hukum yang bersandar kepada pemikiran tersebut. Dengan kata lain, dari pemikiran ini dibangunkan pemerintahan dan seterusnya membawa kepada kebangkitan.
Dari pemikiran inilah muncul penyelesaian-penyelesaian praktikal untuk menyelesaikan segala persoalan kehidupan. Dengan kata lain, daripada pemikiran tersebut keluar segala bentuk peraturan, perundangan dan hukum. Eropah tatkala mengalami kebangkitan, kebangkitannya didasarkan pada suatu pemikiran. Yaitu pemisahan urusan agama dengan negara (sekularisme) dan kebebasan. Begitu juga dengan Amerika, tatkala mengalami kebangkitan, kebangkitannya di dasarkan pada suatu pemikiran, yaitu sekularisme dan kebebasan. Rusia tatkala mengalami kebangkitan, kebangkitannya di dasarkan pada suatu pemikiran, yaitu material dan evolusi (perubahan) materi (benda), yaitu perubahan sesuatu dengan sendirinya dari suatu keadaan, kepada keadaan lain yang lebih baik. Rusia menegakkan pemerintahannya pada tahun 1917M yang di dasarkan pada pemikiran semacam ini. Maka Rusia pun bangkit. Kebangkitan yang berlaku di Eropah, Amerika dan Rusia ini merupakan kebangkitan yang bathil (salah) kerana tidak di dasari oleh asas ruhiy (kesedaran akan hubungan manusia dengan pencipta iaitu Allah Swt). Kebangkitan yang shahih (benar) adalah dengan meningkatnya taraf berfikir yang didasarkan pada asas ruhiy iaitu didasarkan kepada asas pemikiran islam. Negeri Arab tatkala mengalami kebangkitan, kebangkitannya didasarkan kepada pemikiran Islam. Hal ini nampak jelas tatkala diutusnya Rasulullah Saw. dengan membawa risalah daripada Allah Swt. Di atas landasan ini ditegakkan pemerintahan dan kekuasaan. Negeri Arab pun bangkit tatkala mereka meyakini dan berpegang teguh kepada pemikiran Islam, dan di atasnya dibangunkan pemerintahan dan kekuasaan. Semua ini menjadi bukti yang pasti bahawa metod (cara) untuk mencapai kebangkitan adalah dengan menegakkan pemerintahan di atas suatu pemikiran.
Umat Islam saat ini, jika mereka menghendaki kebangkitan mahu tidak mahu aqidah Islam iaitu pemikiran Islam harus dijadikan sebagai asas yang menjadi arah landasan kehidupan mereka. Kemudian setelah itu daripada pemikiran tersebut barulah muncul penyelesaian-penyelesaian terhadap seluruh masalah kehidupan iaitu peraturan-peraturan hidup, perundang-undangan dan hukum-hukum syara’. Kemudiaan di atasnya didirikan pemerintahan dan kekuasaan. Seterusnya dengan itu akan dapat menyelesaikan seluruh masalah kehidupan mereka dengan hukum-hukum yang terpancar daripada aqidah tadi yaitu hukum-hukum syara’ sebagai sebahagian daripada perintah dan larangan Allah bukan dengan anggapan lain. Jika ini yang dijalankan, maka kebangkitan pasti akan muncul bahkan kebangkitan yang shahih (benar) bukan sekadar bangkit. Dengan itu Umat Islam akan mampu menggapai puncak kegemilangannya lagi, meraih kembali kepimpinan dunia buat kali keduanya..
Wahai saudara-saudaraku, marilah kita berganding bahu, bersatu dan berusaha gigih bagi menegakkan syariat Allah, mengembalikan Islam pada kedudukan yang selayaknya, tinggi mengatasi segala kekufuran yang wujud di muka bumi. Wahai seluruh kaum Muslimin, wahai umat Islam, dari sinilah kita memulakannya...
Wassalamu 'alaikum wbt.
RISALAH-UL-HAQ

“Menjana Pemikiran Muslim”


______________________________________________________

Penyebaran dan penyalinan semula risalah ini amat dialu-alukan. Semoga usaha anda dapat mengembangkan da’wah dan diredhai Allah swt.
_____________________________________