Sunday, April 4, 2010

Ulasan Novel Sejarah Islam

Ulasan Novel Sejarah Islam

Sejak dua menjak ini, saya suka pulak membaca buku novel sejarah Islam, penulisnya Abdul Latip Talib. Dia banyak memberi maklumat dan pengetahuan yang hampir saja kita tidak mengetahuinya. Apatah lagi, dengan pemikiran yang dididik oleh Hizbut Tahrir, iaitu pemikiran Islam yang tulen dapatlah saya memandu diri agar terus berusaha untuk menegakkan kebenaran Islam berserta hukumNya. Agar kita dapat melahirkan generasi yang baru sebanding dengan pahlawan Islam yang terdahulu.


Khalid Memburu Syahid

Novel ini menceritakan sejarah hidup beliau bermula sebelum memeluk Islam sehinggalah saat-saat akhir hayatnya. Beliau sempat melahirkan perasaan kesalnya tidak syahid di medan perang sebaliknya bak kata beliau, “seperti matinya seekor unta”. Namun, seorang sahabatnya, Abu Zanad menenangkan diri beliau,” Nabi Muhamad SAW mengurniakan kepada saudara gelaran Pahlawan Pedang Allah. Baginda juga mendoakan saudara menang dalam setiap peperangan. Disebabkan itulah saudara tidak boleh mati dibunuh oleh orang kafir. Saudara juga tidak boleh tewas dalam peperangan kerana doa Nabi Muhamad dimakbulkan Tuhan”. Bagi ulasan saya, banyak-banyak bab peperangan yang dilalui oleh Khalid. Saya tertarik dengan peristiwa panglima perang Rom, Gergorius memeluk Islam. Caranya amat unik sekali.



Abu Ubaidah –Penakluk Parsi
Novel ini menyentuh kisah hidup Abu Ubaidah sebelum memeluk Islam lagi sambil melintasi zaman Jahiliah menekan hidup orang muslim. Selama ini, saya tidak tahu pula, beliau mendapat gelaran “Penjaga Amanat Umat”, ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW,”Setiap umat ada penjaga amanat bagi umatku adalah Abu Ubaidah Al Jarrah”. Menariknya novel sejarah ini, menceritakan babak pembebasan kota-kota Rom,di Damsyik, Fihl, Hims, Antakiah dan lain-lain lagi selepas peperangan Yarmuk. Cerita penaklukan kota-kota tersebut dikaitkan bantuan Khalid Al Walid. Cuma, saya hairan kenapa novel sejarah ini diberi tajuk “Penakluk Parsi” sedangkan hampir seluruh ceritanya hanya berkisar dengan kerajaan Rom sahaja?.



Salahudin Ayubi -Penakluk Jerusalem
Ramai dikalangan peminat sejarah Islam mengetahui kisah perang Salib. Namun, tanpa membaca buku novel sejarah ini,kita tak kenal siapakah Salahudin Ayubi yang sebenarnya. Bintang Islam ini tidak menyerlah pada usia remajanya. Sejak beliau berpindah ke Mesir, cahayanya terus bersinar-sinar. Rupa-rupanya, bukan mudah hendak menewaskan tentera salib ini, usaha beliau bermula dari dalam negeri kaum muslimin. Penyatuan kaum muslimin di Mesir adalah titik awal kebangkitannya. Penyingkiran pengaruh puak Syiah yang lalai dengan keindahan dunia adalah langkah awalnya. Namun, caranya bijak dan teratur tanpa disedari puak berkenaan. Setelah beliau berjaya menyatukan kaum muslimin di Mesir dan Syam, barulah beliau melancarkan serangan terhadap tentera Salib. Beliau meninggal dunia akibat demam panas ketika beliau pulang ke tanah kelahiran beliau, di Damsyik.



Sultan Muhamad Al Fateh -Penakluk Konstantinopel
Saya ucapkan syabas kepada penulis buku novel sejarah ini. Banyak pengetahuan yang saya timba disini. Semasa saya baca buku-buku novel ini, saya rasa hendak hidup pada zaman mereka (ketika zaman pemerintahan Islam –khilafah). Rindunya semakin menebal. Sultan Muhamad seorang pemuda (dilantik menjadi sultan -19tahun) yang berusaha gigih menakluki kota Konstantinopel atas dasar sebuah hadis Rasulullah SAW. Bahkan beliau dikhabarkan oleh ulama-ulama istana sebagai pemimpin yang berjaya menakluki kota tersebut, sejak ibu mengandungnya lagi. Rupa-rupanya, idea memindahkan kapal ke Tanduk Emas melalui jalan darat, bukanlah idea datang dari Sultan Muhamad, tapi dari ilham Illahi melalui mimpi. Kemudian beliau menanyakan hal tersebut kepada seorang ulama, Sheikh Shamsudin. Ulama tersebut menyuruh lakukan apa yang dimimpikan agar menjadi kenyataan. Usaha ini, berjalan lancar dengan adanya genjatan senjata (yang dipinta oleh Raja Rom) selama seminggu dengan menyediakan landasan untuk kapal dipindahkan. Dengan bantuan angin kencang yang bertiup dari laut ke darat dapatlah membantu tentera memindahkan kapal sebanyak 70 buah dan dilakukan hanya 1 malam,dengan sejauh 3 batu berserta mendaki bukit. Hebat kan!!


Tariq -Menang ataupun Syahid
Tindakan beliau membakar kapal seringkali menjadi kontradik. Sehinggalah beliau berjaya menakluki Andalusia masih ada orang menuntut gantirugi kerana membakar kapalnya. Namun, kesudahannya baik, orang tersebut akhirnya memeluk Islam. Kehebatan Tariq tidak perlu dipertikaikan kerana beliau sebaris nama pahlawan Islam yang berjasa besar dalam Islam. Imannya tinggi, dalam operasi beliau menakluki Portugal pun, (selepas menakluki Andalusia) beliau tidak tertarik dengan sambutan kedatangan istimewa oleh orang Portugal yang menyediakan perempuan, arak dan daging babi. Dengan harapan dapat membunuh Tariq dan tenteranya (10 ribu orang) secara mudah. Memandang beliau tidak layan semua itu, Portugal terpaksa tunduk kepada hukum Islam. Cuma, kisah Tariq dalam novel ini agak tergantung pada babak akhir hayatnya.